Ayat Yang turun Tanpa sebab



1-3 Penurunan (Nuzul) Al-Quran Tanpa Sebab (Punca)
Dan Bersebab (Berpunca)

            Penurunan (nuzul) al-Quran terbahagi kepada dua:

1-   Penurunan tanpa sebab (punca) tertentu, iaitu yang tidak didahului oleh sebab-sebab yang memerlukan penjelasan al-Quran. Kebanyakan ayat-ayat al-Quran adalah di bawah bahagian ini. Contohnya ialah firman Allah Ta‘ala (al-Taubah 9:75) - Maksudnya:

Dan di antara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah “Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada Kami, pastilah Kami akan bersedekah dan pastilah Kami termasuk orang-orang yang salih.”

Ayat ini turun tanpa sebab tertentu kecuali untuk menerangkan keadaan sesetengah golongan munafiq. Adapun kisah yang masyhur yang dinyatakan oleh kebanyakan ahli tafsir dan pemberi tazkirah bahawa ayat ini turun disebabkan perbuatan Tha‘labah bin Hatib, kisah ini adalah lemah dan tidak sah.

2-   Penurunan bersebab (berpunca), iaitu yang didahului oleh sebab-sebab yang memerlukan penjelasan al-Quran. Sebab (punca) itu pula terdiri daripada beberapa bentuk:
a.       Soalan yang dijawab oleh Allah Ta‘ala. Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Baqarah 2:189) - Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah “Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) haji.”
b.      Peristiwa yang memerlukan keterangan dan peringatan. Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Taubah 9:65) - Maksudnya: Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab “Sesungguhnya Kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja”
c.       Ayat ini turun dalam peperangan Tabuk berkaitan seorang lelaki munafik yang berkata, “Tidak pernah kami lihat orang-orang yang perutnya lahap, lidahnya penipu dan pengecut pula semasa bertempur seperti qari-qari kita itu.” Orang yang dia maksudkan ialah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Perkara ini kemudiannya sampai kepada Rasulullah s.a.w. lalu ayat al-Quran turun berkaitannya. Lelaki tersebut datang dan memberi alasan kepada Nabi s.a.w.. Baginda hanya menjawab (dengan membaca potongan ayat ini (al-Taubah 9:65) - Maksudnya: “Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan rasulNya kamu selalu berolok-olok?”[1]
d.      Perbuatan yang memerlukan hukum. Contohnya firman Allah Ta‘ala (al-Mujadilah 58:1) - Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang bersoal jawab denganmu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar perbincangan antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha melihat.



 

 [1]             Kisah ini dinyatakan oleh Ibnu Kathir dalam Tafsirnya (Jld. 2, Hlm. 368) dan al-Tabari (Jld. 10, Hlm. 172).




Post a Comment

0 Comments